Wednesday 17 April 2013


BUDAYA CEMERLANG

Iklim dan budaya sekolah adalah penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Bagaimanakah anda sebagai pemimpin memastikan budaya sekolah cemerlang diamalkan oleh warga sekolah anda ?.

Pengetua merupakan pengurus atau pengerak utama kepada sesebuah organisasi persekolahan. Sekiranya pengurusan dapat dilaksanakan dengan efektif dan cekap secara tidak langsung masalah di sekolah dapat diselesaikan dan ini membantu ke arah pembentukan sekolah berkesan dan memacu kecemerlangan di sekolah. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa apa yang membezakan keberkesanan dan kecemerlangan  sesebuah sekolah dengan sebuah sekolah yang lain adalah kebijaksanaan  kepimpinan pengetua.

Bukan mudah untuk memastikan budaya sekolah cemerlang diamalkan oleh setiap warga sekolah, daripada guru-guru, staf  bukan akademik dan semua pelajar.  Sebagai pengetua , seharusnya dapat berperanan sebagai pemimpin pengajaran  yang berketrampilan.

            Pengetua ialah pemimpin teknikal yang seharusnya meminimumkan peranan sebagai jurutera pengurusan. Kepemimpinan seumpama ini ditumpukan kepada teknik pengurusan yang cekap dan mahir dalam memanipulasi strategi dan keadaan demi untuk menjamin keberkesanan yang maksimum. Kemahiran ini termasuklah aspek perancangan, pengelolaan, penjadualan dan penyelarasan.  Dengan itu setiap warga sekolah dapat bergerak dan bekerja mengikut perancangan yang telah ditetapkan bersama-sama kearah melahirkan budaya kerja cemerlang.

Pengetua juga harus memainkan peranan sebagai jurutera manusia. Maksudnya pengetua seharusnya mahir dan cekap dalam aspek perhubungan manusia, dan perhubungan individu serta mampu menggerakkan stafnya ke arah melahirkan budaya kerja dan budaya sekolah cemerlang.

Pengetua sebagai pemimpin pendidikan. Dalam hal ini pengetua memainkan peranan sebagai clinical practioner, iaitu menyumbang kepakaran dalam bidang pendidikan dan persekolahan. Pengetua juga perlu mahir dalam bidang kurikulum, diagnosis keperluan pelajar, penilaian dan penyeliaan atau pencerapan yang berkesan.

Pengetua sebagai pemimpin simbolik. Dalam konteks ini pengetua meminimumkan peranan sebagai penghulu yang memberi isyarat tentang nilai dan kepentingan atau tujuan sesuatu perkara yang hendak dicapai. Kepemimpinan seumpama ini termasuklah aktiviti seperti melawat bilik darjah dan kawasan sekolah, di samping cuba mengenali pelajar dengan lebih dekat.  Selain daripada itu kepemimpinan budaya  amat penting bagi mencapai kecemerlangan sekolah. Pengetua yang menjalankan peranan ini dapat dilihat menerusi usaha-usahanya mencari, mentafsir dan memperkukuhkan nilai, kepercayaan dan unsur budaya yang dapat menjadikan sekolah itu sebagai sebuah sekolah yang unik dan mempunyai ciri-ciri sekolah cemerlang.

Secara kesimpulannya  sebagai pemimpin, pengetua seharusnya  memberi penekanan kepada pengurusan dan membuat keputusan secara demokratik, kepemimpinan pengajaran yang kuat diberikan oleh pengetua atau guru-guru lain, memastikan kestabilan guru-guru dan staf , memberi penekanan kepada kurikulum dan pengajaran, mewujudkan program pembangunan staf di peringkat sekolah,  memastikan penggunaan masa yang berkesan serta  melibatkan lebih masa kepada pelajaran akademik dan kurang kepada aktiviti-altiviti bukan akademik. Dengan itu budaya sekolah cemerlang akan wujud dengan sendirinya.

No comments:

Post a Comment