Tuesday 2 April 2013


Bagaimana Pengetua Memimpin Guru-Guru Tanpa Menggunakan Kuasa & Kedudukan .

Pengetua sebagai pengurus yang menggabung teori kepimpinan. Kajian dan penulisan mengenai pengurusan sekolah membuktikan bahawa pengetua adalah pembolehubah yang paling penting bagi menentukan prestasi sekolah dari segi akademik dan budaya sekolah (Hussain Ahmad, 1993). Justeru itu, dalam pengurusan berasaskan pengupayaan (empowerment) ini pengetua seharusnya memiliki sifat-sifat berikut:

i) Peka terhadap nilai, sikap dan perbezaan yang terdapat di kalangan ahlinya.

ii) Tidak bersikap monopoli dan mempercayai keupayaan guru-guru.

iii) Melahirkan satu sistem pembuat keputusan bersama yang berkesan.

iv) Mempunyai tujuan dan mendapat restu guru-guru.

v) Melahirkan perhubungan yang rapat dengan masyarakat sekolah dan persekitaran

                sekolah.

Dalam ha1 ini, pengetua akan dianggap sebagai model yang mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi. Ia tidak autokratik tetapi demokratik.

Pola pengurusan lebih berasaskan tindakan kemanusiaan tanpa perlu menggunakan kuasa atau kedudukan.  Menerusi struktur pengurusan yang berdasarkan konsep pengupayaan (empowerment), pemimpin atau pihak pengurusan adalah lebih demokratik. Pengurus pendidikan yang bertimbang rasa biasanya mempunyai pengikut (pekerja) yang mempunyai tahap kepuasan yang lebih tinggi dari segi prestasi pekerja (Al-Ramaiah, 1992).

Hierarki struktur yang tidak rigid.  Dalam menghadapi dilema pengurusan institusi persekolahan, pengetua sewajamya dibekalkan dengan pengetahuan pengurusan yang pelbagai. Pengurusan yang berasaskan reflektif rasionaliti adalah lebih baik dari teknikal rasionaliti      (Dr.Wan Zahid, 1993). Ia mempunyai kaitan dengan ciri pengurusan yang tidak homogen, rutin dan boleh ditelah perilaku dan hasilnya. Ini merupakan salah satu ciri pengupayaan (empowerment)  yang diterima di sekolah-sekolah.

Wujud bentuk pemuafakatan. Setiap keputusan yang dibuat lebih banyak berdasarkan kepada pemuafakatan antara pihak pengurusan sekolah dengan guru-guru. Pembinaan iltizam berasaskan konsep pemuafakatan akan menjadi lebih bermakna dan menambah keberkesanan institusi pendidikan. Pemuafakatan ini bukan hanya terbatas kepada warga sekolah semata-mata tetapi juga melibatkan unsur PIBG. Unsur bersama di antara elemen kepimpinan sekolah, guru, murid dan ibu bapa penting bagi meningkatkan prestasi sekolah. Situasi yang sedemikian juga merupakan antara elemen pengupayaan dalam pengurusan institusi persekolahan.

Ia juga bertunjangkan konsep kebertanggungjawaban yang menyeluruh.  Dalam pengurusan organisasi mengikut James A. F. Stoner (1984) bagi penggunaan sumber-sumber dengan cekap, maka proses penanggungjawaban harus dari atas ke bawah di mana wujudnya kebolehan maklumat yang mencukupi bagi melaksanakan tanggungjawab itu dengan cekap. Oleh yang demikian, ciri ini wujud menerusi pengupayaan (empowerment)  di sekolah kerana ia memungkinkan individu-individu dalam organisasi dapat melaksanakan tugas-tugas yang diserahkan kepada mereka dengan lebih efektif.

Ahli institusi persekolahan bebas mewujudkan cetusan idea bagi perubahan. Dalam menangani masalah-masalah di institusi persekolahan, para guru sewajarnya diberi kebebasan untuk mengemukakan idea bagi perubahan yang lebih bermakna. Mematuhi dan melaksanakan tugas tanpa unsur kebebasan akan mewujudkan sindrom kebekuan minda. Pengalaman ini merupakan aset terbaik dalam perlaksanaan pengupayaan (empowerment)  di peringkat sekolah.

 Berasaskan kepada teknikal reflektif dan bukannya teknikal rasionaliti. Tindakan-tindakan yang berasaskan kepada menunggu arahan dan surat pekeliling sudah tidak sesuai dalam melakukan anjakan paradigma pendidikan. Oleh itu, menerusi konsep pengupayaan ini, sesuatu tindakan itu harus terkehadapan supaya kecemerlangan akan menjadi asas pencapaian keseluruhannya. Ini juga mempunyai korelasi yang mantap dengan tindakbalas yang menunjukkan ciri-ciri inovatif, sifat-sifat imaginasi yang tinggi melangkaui kebiasaan dari rutin dalam gerak kerja. Elemen ini sebagai unsur penting bagi keberkesanan komitmen oleh institusi persekolahan.

Mewujudkan prinsip skalar.  Menerusi perlaksanaan konsep pengupayaan (empowerment)  dalam organisasi pendidikan, ia secara langsung akan menjayakan prinsip skalar dalam pengurusan. Menurut prinsip ini yang dipopularkan dalam teori oleh James A. F. Stoner (1984) para anggota organisasi mengetahui di mana kedudukan mereka dalam rantaian perintah. Prinsip skalar meyarankan kemestian mewujudkan satu garis autoriti secara jelas yang menurun selangkah demi selangkah dari tingkat paling tinggi dalam organisasi hinggalah ke tingkat yang paling bawah. Ini akan mengelakkan pertindanan bidang kuasa dan seterusnya ia akan menambahkan keberkesanan organisasi itu sendiri.

Prinsip keesaan perintah. Mengikut prinsip keesaan perintah setiap orang dalam organisasi hendaklah melaporkan kepada hanya seorang ketua sahaja. Melaporkan kepada lebih daripada seorang ketua menyulitkan seseorang itu untuk mengetahui kepada siapa tertakluk kebertanggungjawabannya dan arahan siapa mesti diikuti. Konsep ini bersesuaian dengan pengupayaan (empowerment)  di institusi persekolahan supaya pertindanan arahan tidak berlaku di antara pengetua dengan timbalan-timbalan pengetua.

Mewujudkan sistem pemantauan.  Sistem pengesanan atau pemantaun akan lebih bermakna jika mengikut piawaian yang difahami dan dipersetujui semua. Hal yang demikian rupa, penting dalam menentukan bentuk penilaian aktiviti-aktiviti yang dilakukan menerusi pengupayaan (empowerment)  dalam sesebuah sekolah. Ciri-ciri yang dikemukakan di atas merupakan antara unsur yang dapat dikenalpasti menerusi konsep pengupayaan (empowerment) dalam pengurusan di institusi-institusi persekolahan dinegara ini. Ciri-ciri ini lebih menjuruskan kepada bentuk positif terhadap pola kepimpinan pengetua menerusi konsep pengupayaan (empowerment) dalam beberapa bidang yang dilakukan di sekolah. Kajian yang dilakukan tentang sekolah-sekolah efektif menjelaskan bahawa pengetua memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan atau kecemerlangan sekolah. Justeru itu, adalah penting pengetua diperlengkapkan dengan   ilmu-ilmu pengurusan terkini supaya dapat dijadikan panduan meggerakkan sekolahnya menuju kepada kecemerlangan. Wan Mohd Zahid Nordin (1993) menjelaskan bahawa pengetua yang hanya menjalankan tugas berasaskan arahan dan surat pekeliling semata-mata merupakan pengetua yang tidak prolifik terhadap bidang tugasnya dan ia tidak berupaya membawa sekolah yang dipimpinnya ke tahap gemilang. Para pengetua harus bersikap kreatif, inovatif dan proaktif. Untuk itu, budaya ilmu mestilah menjadi pengamalan harian para pengurus organisasi pendidikan itu sendiri. Sehubungan dengan usaha untuk membawa tahap kecemerlangan sekolah-sekolah yang dipimpinnya, maka para pengetua sewajarnya mempelajari cara   gaya pengurusan terkini supaya ilmu bantu ini dapat menyumbang kepada kecemerlangan sekolah. Hussain Ahmad (1993) menekankan pengurusan yang bercorak insaniah yang menekankan aspek-aspek hubungan dan kemanusiaan. Jika bijak dilaksanakan akan membantu pengetua menyelesaikan banyak masalah dalam pengurusan institusi persekolahan tanpa perlu menggunakan kuasa atau kedudukannya sebagai pengetua. Ini adalah aspek yang menjadi akar umbi dalam pengurusan sekolah yang diasaskan kepada prinsip atau konsep pengupayaan (empowerment) itu sendiri.

No comments:

Post a Comment